Sekagum mana pun kita dengan kebijaksanaan Tun M pemimpin yang sangat dihormati, jangan sampai mengungkap kata-kata berbaur syirik seperti beliaulah yang menaikkan dan menjatuhkan pemimpin@kerajaan atau semua yang berlaku mengikut kehendak percaturan politiknya.
Hakikatnya itu semua hak milik mutlak Allah Yang Maha Kuasa yang mengizinkan segala sesuatu itu berlaku dengan hikmah yang tertentu.
قُلِ ٱللَّهُمَّ مَـٰلِكَ ٱلۡمُلۡكِ تُؤۡتِى ٱلۡمُلۡكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ ٱلۡمُلۡكَ مِمَّن تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُۖ بِيَدِكَ ٱلۡخَيۡرُۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ۬
“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan!
Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki.
Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.
Dalam kekuasaan Engkau sahajalah adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu” [Ali-‘Imran:26].
Sehebat-hebat Khalid bin al-Walid RA, Jeneral genius lagenda yang tidak pernah terkalah dalam peperangan, Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA terpaksa memecat beliau ketika mendapati sebahagian manusia seolah-olah menganggap Khalid seperti ‘Dewa Perang’ yang hadir membawa kemenangan, kerana ia boleh mengundang syirik dan merencatkan iman, sedangkan tauhid punca kemenangan, tawakkal punca ketenangan.
Semoga Islam sentiasa terpelihara dalam apa jua suasana yang melanda negara.
-Dr. Kamilin Jamilin-

